Wednesday, August 19, 2009

rupa paras persatuan mahasiswa sebenar

GPMS di UiTM misalnya sudah melakukan perubahan dengan menggunakan istilah Muktamar sebagai gantian kepada AGM ataupun Perhimpunan Agung, Mesyuarat Agung Tahunan bagi mencari kepemimpinan mahasiswa.

Tema Muktamar GPMS itu lebih kurang bunyinya 'Ke arah jalinan ukhuwwah'. Ini sudah baik dan sekali imbas ada kesedaran beragama walaupun ada pihak mendakwa bahawa semua itu cuma kosmetik sahaja dengan tujuan menunjukkan wajah keislaman.

Rupa paras Islami

Apa yang penting di sini ialah, kita tak boleh menilai sesebuah persatuan dan individu itu berdasarkan rupa paras dan luarannya sahaja kerana Islam itu hadir dengan AMAL.

Beberapa buah pertubuhan pelajar Islam biasanya akan melakukan program-program tarbiyah, latihan kerohanian ke atas ahli-ahlinya. Inilah yang membezakan antara persatuan Islam dengan persatuan mendaki gunung dan kelab pencinta alam sekitar. Persatuan Islam menitikberatkan soal pembinaan rohani ahli-ahlinya.

Persatuan lain hanyalah lonjakan untuk mendapatkan 'pointer' PNGK dan CGPA. Selain itu, ia mungkin menjadi suatu alat tunggangan politik mahasiswa atau politikus luar dan ia menjadi perkakas untuk mendapatkan tajaan menyusun seminar.

Dalam banyak-banyak persatuan dan kelab di universiti, sememangnya persatuan Islam inilah yang paling aktif secara tak langsung dengan pelbagai kegiatan.

Mereka akan bermukhayyam, bertamrin, berusrah bagi meningkatkan potensi rohani dan akliah. Hal inilah yang tiada pada badan pertubuhan pelajar yang tidak berorientasikan keislaman.

Adakah Kelab Damai, GPMS yang mengguna kalimat 'Muktamar' (dahulunya AGM, Mesyuarat Agung Tahunan, Perhimpunan Agung) akan turut menggunakan pendekatan usrah, tamrin dan mukhayyam sebagai pengisian roh dalaman para ahlinya?

Atau, nama persatuan Islam itu dan penggunaan nama 'muktamar' itu cuma sekadar tempelan nama sahaja dan bukanlah wadah untuk memperbaiki kualiti rohani dan mutu fikrah para anggotanya?

Seperti orang Islam yang baik, bukan sahaja namanya Islam, tetapi mestilah ada pengisian AMAL seperti solat, berpuasa, menunaikan zakat dan menunaikan fardhu haji selain menunaikan solat Tahajud jam 4 pagi seperti Najib.

Juga, orang Islam sejati tidaklah cuma menunaikan amalan wajib dan sunat, malah mereka akan berusaha keras untuk tidak terjebak ke dalam dosa memuja nombor ekor, meletupkan wanita Mongolia hanya kerana isu tuntutan komisyen kapal selam, merompak menyamun Adun sehingga rebahnya Pakatan Rakyat di Perak termasuk berlaku syirik kerana mengamalkan ilmu hitam dan terjebak dengan amalan sihir yang jelas bertentangan dengan agama Islam.

Rupa paras pertubuhan pelajar Islam, dalam konteks universiti di Malaysia hari ini ialah tercetak pada AMAL organisasi seperti - usrah, tamrin dan mukhayyam sebagai mana AMAL umat Islam seperti solat, puasa, zakat dan haji.

Tiada ertinya keislaman seseorang yang hanya tinggal pada namanya saja Islam, tetapi tidak berAMAL solat, puasa, zakat dan haji. Dan rosak keislaman seseorang jika mereka membunuh, merompak, menyamun, melakukan penganiayaan ke atas orang lain dengan ilmu sihir mereka.

Kita menulis begini kerana Pengerusi - Pengasas Damai adalah Ahmad Zahid Hamid manakala Kelab Damai itu akan dipegang di bawah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah.

Baik Ahmad Zahid Hamidi dan Saifuddin Abdullah, kedua-duanya adalah bekas pimpinan pelajar Islam terulung di Malaysia. Ahmad Zahid tetaplah mantan PMI UM dan pertemuan beliau dengan Menteri Pertahanan Israel Ehud Barak tetaplah tak akan mengurangi kehebatannya atau membatalkan kedudukannya sebagai pemimpin mahasiswa Islam di UM pada suatu masa dahulu.

Ahmad Zahid adalah mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya, manakala Saifuddin Abdullah; pimpinan tertinggi PKPIM pada suatu masa yang lalu.

Pertemuan Ahmad Zahid dengan Ehud Barak tidak seperti kedudukan Iman, Islam seorang yang bersolat tahajud tetapi tetap membunuh dan menyamun Adun dan mungkin tidak merosakkan Iman, Islam seseorang Muslim yang menggunakan ilmu hitam.

Untunglah baru-baru ini, Saifuddin Abdullah meluncurkan sebuah buku-e (buku elektronik) bertajuk Kalau Saya Mahasiswa yang mengundang sedikit keyakinan di hati ini.

Sengajalah kita bertanya - apakah dengan menempel ungkapan Muktamar GPMS itu akan menjelaskan kepada kita bahawa badan pelajar itu sudah menghalakan kegiatannya kepada usrah dan tamrin dan adakah Kelab Damai di bawah kelolaan Ahmad Zahid dan Saifuddin itu akan benar-benar mengadun kegiatannya dengan ramuan usrah dan tamrin?

Kita bertanya soalan begini (apakah Kelab Damai itu memiliki rupa paras persatuan siswa Islam sebenar kerana akan ada usrah dan tamrin) kerana Ahmad Zahid dan Saifuddin adalah antara mantan pimpinan persatuan mahasiswa Islam.

Kita tak tanya soalan ini kepada Najib kerana kita pun tahu ketika Najib mengungkap ayat ini lewat ucapannya..

"..cara membimbing pemimpin adalah selaras dengan kaedah anjuran Rasulullah s.a.w yang menitikberatkan tarbiah dan disiplin dalam membentuk pengikutnya seperti ketika baginda membimbing sahabatnya termasuk Usamah, Muaz dan Mus'ab.." (sedutan petikan ucapan Najib Razak)

.. satu Malaya Merdeka pun tahu bahawa Najib sedang membaca teks ucapan yang ditulis oleh siapa entah. Jadi, masakan Najib yang tidak mengucapkan lafaz tersebut daripada hatinya sendiri, boleh menjawab soalan kita - adakah Kelab Damai akan berAMAL dengan usrah dan tamrin?

Najib hidup bergelumang dengan kalimah-kalimah komisyen, duit ringgit, dollar, Mongolia. Usrah dan tamrin tiada dalam pengetahuan dan kamus pengalaman hidupnya.

Kita bertanya begini kerana kununnya, jumlah keanggotaan ahli persatuan pelajar Islam yang berdaftar di bawah HEP itu ramai sekali; 15,000 jumlah keahliannya. Ini adalah sejumlah batalion besar yang boleh membuat perubahan dalaman Umno jika semuanya hadir dalam usrah dan tamrin. Kunun-kununnya begitulah.. secara idealnya.

Syahadan, kita bertanya begini, adakah Kelab Damai akan berAMAL dengan usrah dan tamrin kerana nama kelab itu sendiri - Kelab Damai, iaitu kependekan daripada Dewan AMAL Islam Hadhari (Damai).

Ini kerana AMAL usrah dan tamrin inilah antara titik tolak kepada jatuh bangunnya kepimpinan mahasiswa Islam hari ini dulu dan mungkin selama-lamanya.

Jika ada rancangan untuk 'mentamrinkan' dan 'mengusrahkan' mereka di dalam UiTM Shah Alam sendiri, maka apakah bentuk dan corak pengisiannya? Adakah Naib Canselor UiTM Ibrahim Abu Shah akan memberikan keizinannya untuk pelajar berusrah dan bertamrin kelak?

No comments:

Post a Comment